(Hari ini aku kembali membebel, setelah sekian lama berdiam kerana perasan bizi sehingga tiada masa untuk lain-lain hal… Ohh, yaa, dan ketika entry ini ditulis, hati aku masih berdebar-debar dan tangan aku separa menggigil serta mind aku masih konpius!!!)
Mari aku ceritakan kepentingan 3 perkara diatas yang perlu untuk kau amik tau, kalau pun tidak berguna pada kau, mungkin berguna buat orang lain.. Dan pastinya, semua ini adalah berdasarkan kepada logik aku sahaja. Seperti biasa!!
Baiklah murid-murid, kita mulakan kelas hari ini..
Ehem!! Ehem!!
Cermin mata : supaya dapat membantu mata kau yang tak berapa nak sempurna dan asyik terkebil-kebil itu dapat berfungsi dengan baik walaupun tidak mencapai tahap cemerlang. Sekurang-kurangnya, kau akan nampak dengan 90% kadar ketepatan, apakah kenderaan yang berada di kiri, kanan, depan dan belakang kau dan supaya kau nampak lampu yang dinyalakan oleh kereta lain terutamanya lampu lip-lap dari kereta Pasukan Penangkap Orang (selepas ini, dikenali sebagai ‘PPO’). Kau itu sudah laa tak nampak, berlagak pulak macam terer sangat drive dan mencilok sana sini dengan tak bagi signal nye… Tragedi datang tidak berbayang (berbayang? ke, berbunyi?), okay?! Tapi ini tidak laa bermakna dengan memakai cermin mata, kau akan selamat dari sebarang tragedi menyayat hati… Da kalau takdir kau untuk tragedi, kat mana-mana pun kau akan mengalami tragedi itu..
Volume radio yang rendah : supaya pendengaran kau yang kurang peka dengan bunyi-bunyian disekeliling itu menjadi sedikit peka dengan bunyi yang keluar dari alat pembesar suara yang telah disetkan ke tahap tertinggi oleh kereta lain terutamanya dari kereta PPO. Harus diingat, kau itu sudah laa seorang yang lambat menangkap sebarang bunyi, dengar pulak lagu kuat-kuat terutamanya lagu menarik hati dan catchy dari penyanyi bawah umur yang mungkin kelihatan comel sampai kau pun tergerak hati untuk mendera diri sendiri dengan sama-sama ‘menyumbangkan’ lagu tersebut, dimana hanya kau seorang sahaja yang dengar ‘sumbangan’ tersebut!!! (Ohhh!! Tolong la ada perasaan belas kasihan dengan diri sendiri, ya?!)
Daya penaakulan yang tinggi : supaya apabila ada sebarang tanda-tanda atau amaran BAHAYA yang kau sedari wujud, kau akan terus memproses maklumat tersebut dengan kadar yang segera dan mengambil tindakan yang sewajarnya bersesuaian dengan amaran dan arahan yang diberikan. Keadaan ini juga akan menyelamatkan diri kau dari di‘hon’ dengan drastiknya dan juga bertubi-tubi atau pun, dijerit ‘hoi!!! ke tepi’ dari kereta lain yang nak cepat dan penat bagi tanda amaran terutamanya dari kereta PPO tapi kau buat ‘deeekkk’ aje. Bila kau nampak amaran tersebut, sepatutnya kau bertindak, bukannya sekadar bermonolog dalaman, ‘Oh, ada kereta PPO nak lalu’ tapi kau teruskan saja memandu tanpa berbuat apa-apa pun dengan amaran diberikan..
Baiklah murid-murid, adakah anda faham dengan penjelasan ringkas ini?!
Murid-murid… Perkara-perkara diatas adalah antara perkara asas yang perlu diikuti, terutamanya jika anda menderitai penyakit ‘mudah terpisah dari dunia nyata’ atau bahasa modennya ‘khayal’, semasa memandu, serta jika anda bekerja di Jabatan biru… Ini kerana, jika anda melakukan kesalahan bengap yang tidak masuk akal dengan pengabaian 3 perkara mudah diatas semasa dijalanraya, dan diketahui pula anda bekerja di bahagian biru Jabatan biru, maka anda akan mendapat kutukan yang hebat dari pemandu-pemandu lain serta rakan-rakan anda... (Sila tanggalkan pelekat Jabatan biru dari cermin hadapan kereta anda selepas ini!!!). Kecuaian anda juga boleh dilihat sebagai tindakan yang amat memalukan Jabatan dan bahagian biru.. Jabatan biru dan kakitangan berbaju biru amat cemerlang dijalanraya, maka anda haruslah menjaga nama baik dan reputasi serta imej Jabatan biru.. Walaupun tiada sebarang syarat, peraturan, akta atau kaedah yang menyatakan anda haruslah menjadi seorang pemandu yang bagus, hebat, berhemah dan superb untuk bekerja di Jabatan biru, cukup sekadar mempunyai kelayakan akademik yang diiktiraf, sekurang-kurangnya anda boleh menjadi contoh kepada pemandu-pemandu yang lain…
Sekiranya murid-murid tidak mengikuti perkara asas diatas, murid-murid akan mengalami malu yang amat sangat kerana dengan secara tiba-tiba akan berada ditengah-tengah kumpulan kereta PPO yang sedang membawa orang-orang berbahaya dan ada dikalangan anggota-anggota PPO itu akan tersenyum dengan senyuman yang sangat manis memandang anda, dan bila semua kereta PPO itu telah melepasi anda, barulah anda sedari yang hanya anda sahaja yang berada ditengah-tengah jalan dan pemandu-pemandu lain pula akan tersenyum pada anda seolah-olah ingin berkata, “Cik, tak sedar ke kete polis tu da bagi lampu siap ‘neenong’ ‘neenong’ nak lalu?!” dan melambai-lambai manja seraya menggelakkan anda dengan kejam.. Kejadian ini mungkin agak remeh bagi anda tapi bagi sesetangah orang, ia boleh mendatangkan malu, debaran di hati dan menggigil satu badan yang amat sangat sehingga terasa seolah-olah ingin lari dan menyorok dari penglihatan umum, disamping tidak dapat menerima hakikat betapa tidak bagusnya anda semasa berada dijalanraya!!!
Sekian, terima kasih!!!!
No comments:
Post a Comment